KUALA LUMPUR: 2nd Chance Consolidation (2CC) menawarkan jalan keluar menyelesaikan belenggu hutang dan membersihkan nama peminjam dalam tempoh hanya sebulan.
Perkhidmatan itu boleh dimanfaatkan oleh mereka yang diisytiharkan bankrap di Malaysia iaitu sebanyak 233,483 kes dari 2019 hingga 2023 dengan 37,461 daripadanya adalah golongan individu seperti dilaporkan Jabatan Insolvensi Malaysia.
Pengasas 2nd Chance Consolidation (2CC), Muhammad Daniel A Samueil berkata, pihaknya menawarkan satu jalan keluar kepada mereka iaitu membeli semua hutang dan mereka boleh menstrukturkan kembali hutang tanpa perlu menunggu untuk membersihkan nama dalam tempoh yang lama.
“Ia akan mengambil masa sebulan sahaja untuk nama dibersihkan, ibaratnya, kaedah ini memberi peluang kedua dalam mereka boleh membuat kitaran kewangan semula dalam tempoh yang singkat dan dalam keadaan lebih baik serta mengembalikan kesejahteraan mental untuk menjalani kehidupan seharian,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.
Mengulas lanjut, Muhammad Daniel berkata, 2CC adalah syarikat perusahaan sosial yang boleh membantu untuk membeli ke semua hutang bagi tujuan memulihkan rekod dan membuat penyatuan hutang melalui penstrukturan baru dengan bayaran bulanan lebih rendah.
Katanya lagi, aspirasi 2CC adalah bagi memperkasakan literasi kewangan dan meliterasikan masyarakat umum dalam pengurusan aset harta kerana ia masih belum meluas dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya, syarikat yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu ini telah mengadakan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, rangkaian kerjasama meluas dengan institusi kewangan termasuk koperasi kredit.
“Ia termasuk terbaru memeterai perjanjian kerjasama dengan MyAngkasa Amanah Berhad yang merupakan syarikat amanah yang patuh syariah dan dimiliki oleh Angkasa (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia) serta mendapatkan pandangan berautoroti bagi memastikan perkhidmatan ini selamat dan tidak bercanggah dengan mana-mana akta berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Daniel berkata, pihaknya telah memulakan perbincangan dengan pihak Jabatan Insolvensi Malaysia dan disambut baik untuk mengenalpasti kerjasama yang boleh dilakukan bersama.
“Objektif utamanya adalah membantu individu mengalami masalah kewangan termasuk nama disenarai hitam, permasalahan pembiayaan sedia ada yang kadar keuntungannya tinggi, potongan gaji melebihi had dan mereka culas dalam pembayaran komitmen bulanan lebih dari dua bulan.
“Semua permasalahan ini sekiranya tidak diselesaikan akan membawa pelanggan ke arah tindakan undang-undang.
“Justeru, kita akan mengenal pasti masalah dihadapi, rundingan akan dibuat secara percuma dan tiada caj pendahuluan, malah caj untuk mendapatkan laporan kredit oleh Agensi Pelapor Kredit termasuk laporan CCRIS ditanggung oleh pihak kami,” jelasnya.
Katanya, penilaian kredit secara komprehensif 2CC akan menawarkan pelan konsolidasi yang terbaik kepada mereka dan selepas akad ditandatangani, pihak itu akan membeli hutang.
“Daripada itu, mereka mampu mengawal hutang-hutang mereka dengan pembiayaan oleh bank dan ke semuanya patuh syariah selain nilai tambah dalam konsultasi perancangan kewangan, pengurusan aset harta dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN