KUALA LUMPUR: Seramai 2,477 bekas anggota tentera menjalani hukuman dan diberhentikan perkhidmatan bagi tempoh tiga tahun iaitu 894 anggota pada tahun 2022, 767 anggota (2023) dan 816 anggota (2024).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi perkara yang melibatkan pengiktirafan semula bekas tentera sebagai
Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kriteria utama untuk pengiktirafan adalah dengan mencapai tempoh 10 tahun selepas tarikh Tamat Tempoh Perkhidmatan (TTP) iaitu sebagai bekas tentera.
“Namun, hasil Bengkel Pengiktirafan Bekas Tentera Sebagai Veteran ATM yang diadakan pada Februari 2023, kriteria sedia ada, telah diperhalusi dan dibawa ke Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) Siri 2 Tahun 2024.
“Panel MVK tersebut memutuskan bahawa bekas tentera yang diberhentikan dalam keadaan khas (salah laku) tidak akan dipertimbangkan untuk diiktiraf semula sebagai Veteran ATM.
“Walau bagaimanapun, mereka ini boleh memohon untuk diberikan kemudahan kebajikan tertentu yang diuruskan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dengan bantuan Yayasan Veteran ATM, ” katanya.
Justeru bagi tahun 2022, 2023 dan 2024, tiada anggota diberhentikan dalam keadaan khas, dikategorikan semula sebagai Veteran ATM,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) meminta kementerian menyatakan jumlah bekas tentera yang menjalani hukuman dan diberhentikan perkhidmatan bagi 2022, 2023 dan 2024.
Nordin turut meminta penjelasan jumlah mereka yang telah diberi pengampunan dan dikategorikan semula sebagai veteran mengikut tahun-tahun tersebut. – UTUSAN