BENTONG: Seramai 244,799 murid sekolah rendah dan pelajar menengah di Pahang memulakan sesi akademik 2025/2026 hari ini melibatkan 739 sekolah di seluruh negeri ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa berkata, 46,240 merupakan murid baharu melibatkan 24, 740 murid tahun satu manakala 21, 500 adalah pelajar tingkatan satu.
Katanya, sejumlah 123,640 adalah murid sekolah rendah dan 74,919, sekolah menengah.
“Kesemua murid dan pelajar meneruskan sesi persekolahan di 739 buah sekolah di seluruh negeri ini yang terdiri daripada 541 sekolah rendah dan 198 sekolah menengah.
“Pengoperasian semua sekolah hari ini berjalan lancar dengan kerjasama daripada seramai 23, 392 guru dan 4,158 Anggota Kumpulan Perlaksana (AKP),” katanya dalam sidang akhbar sempena Program 1st Day At School Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Lurah Bilut, di sini hari ini. – UTUSAN