20 buah sekolah lagi terlibat dalam program Aquaculture Aspire - Utusan Malaysia

20 buah sekolah lagi terlibat dalam program Aquaculture Aspire

MOHAMAD Sabu menandatangani plak perasmian program Aquaculture Aspire yang dilaksanakan di SMK Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor hari ini-UTUSAN/ SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 20 buah sekolah lagi di seluruh negara dijangka akan terlibat dalam program Aquaculture Aspire yang akan dibiayai pihak Agrobank.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, program tersebut dilancarkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 lalu.

“Program Aquaculture Aspire diperkenalkan untuk mendekatkan anak-anak kita ini, terutama sekali mereka yang berada dalam program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mengenai teknologi akuakultur.

“Kita bukan sekadar ajar mereka bela ikan, tetapi ajar teknologi bioflik, iaitu teknologi moden yang dapat meningkatkan hasil penternakan ikan tanpa tukar air selalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Wang Persekolahan Agrobank 2025 dan Pelepasan Anak Ikan Tilapia Aquaculture Aspire di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 200 murid sekolah dalam Parlimen Kota Raja mendapat bantuan kewangan berjumlah RM150, beg sekolah, alat tulis dan botol air setiap seorang.

Menurutnya, tilapia dipilih sebagai jenis ikan dalam program ini kerana ia mendapat permintaan tinggi daripada beberapa luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), Hong Kong dan Singapura sekali gus boleh menjadi sumber pendapatan kepada individu yang menternak ikan berkenaan.

Bagi sekolah terpilih dalam program ini, kata Mohamad, mereka akan mendapat sebuah kolam yang berkeluasan 18 kaki dan 1,500 ekor anak tilapia, dengan kos ikan serta kolam tersebut bernilai RM15,000.

“Sektor akuakultur di negara ini besar dan pada tahun 2023, pengeluaran ikan akuakultur negara mencecah 482,680 tan metrik iaitu bersamaan dengan nilai RM3.9 bilion.

“Kalau kita bagi pendedahan awal kepada anak-anak ini, mereka boleh jadi pelapis dalam industri ini,” harapnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya