18 sekeluarga kecewa ditipu agensi umrah

18 sekeluarga kecewa ditipu agensi umrah

SEBAHAGIAN daripada jemaah yang kecewa selepas ditipu agensi umrah hadir membuat laporan polis di Balai Polis Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seramai 18 jemaah daripada satu keluarga kecewa apabila menjadi mangsa penipuan sebuah agensi yang kononnya menawarkan pakej umrah secara eksklusif ke Tanah Suci, baru-baru ini.

Salah seorang daripada mereka, Mohd. Hilmi Che Rose, 40, berkata, mereka hanya menyedari pakej yang ditawarkan itu adalah sebaliknya ketika berada di Mekah dan Madinah setelah berlepas ke sana pada 23 Januari lalu.

Mohd. Hilmi berkata, pada mulanya, mereka dikehendaki membayar antara RM8,590 hingga RM8,890 seorang bagi pakej yang dijanjikan lengkap dengan penginapan hotel di Mekah Tower berhampiran Masjidil Haram serta beberapa kemudahan lain.

“Namun, selepas bayaran penuh dibuat yang berjumlah hampir RM150,000 bagi 18 orang itu, kami dimaklumkan, berlaku perubahan mendadak pada saat akhir iaitu sehari sebelum kami berlepas.

“Kami dikenakan caj tambahan RM500 seorang untuk bilik penginapan, bayaran RM100 untuk bagasi yang sepatutnya percuma, serta pemotongan perkhidmatan kereta api laju dua hala yang dijanjikan,” katanya di pekarangan Balai Polis Bayan Baru di sini ,hari ini.

Sehubungan itu, dia dan ahli keluarganya yang lain nekad untuk membuat 10 laporan polis terhadap agensi tersebut hari ini dan akan membuat laporan lanjut kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) berhubung penipuan agensi berkenaan.

Difahamkan, selain keluarga Mohd. Hilmi, terdapat enam lagi jemaah dari luar Pulau Pinang yang menjadi mangsa penipuan agensi umrah terbabit ketika ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Hilmi berkata, para jemaah telah berusaha meminta pemulangan wang sekurang-sekurangnya RM2,000 hingga RM3,000, namun, mereka hanya dijanjikan bayaran balik RM600 seorang daripada nilai penuh hampir RM9,000 yang dibayar sebelum ini.

“Tetapi, sehingga kini, tiada sebarang bayaran yang kami terima. Jadi, kami berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera supaya tiada lagi jemaah yang menjadi mangsa. Ramai yang mengumpul wang bertahun-tahun untuk ke Tanah Suci, tetapi akhirnya ditipu seperti ini,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Hafiz Roslan, 34, berkata, dia tidak menerima visa umrah daripada agensi itu sehingga ke saat akhir.

“Saya telah membuat ‘follow-up’ (susulan) selama hampir sebulan, namun, jawapan yang diberikan hanyalah ‘perlu tunggu’.

“Dua jam sebelum berlepas, saya masih belum menerima visa dan berlaku pertengkaran di KLIA 2 (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2) kerana pihak agensi gagal memberikan penyelesaian,” katanya yang memberitahu, hanya diberikan visa pelancong pada saat terakhir sebelum penerbangan berkenaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN