18 koperasi MRSM catat perolehan RM1 juta - Utusan Malaysia

18 koperasi MRSM catat perolehan RM1 juta

ABDUL Fattah Abdullah (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada seorang ahli koperasi pada Majlis Anugerah Pengiktirafan Perolehan RM1 juta Koperasi MRSM Felda Sungkai Berhad di MRSM Ulul Albab Felda Trolak, Sungkai, Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Sebanyak 18 daripada 57 koperasi di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara mencatat perolehan sebanyak RM1 juta yang turut memberi pengalaman kepada pelajar-pelajar kemahiran keusahawanan, kepimpinan dan daya inovasi.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi sekolah khususnya di MRSM memberi peluang kepada pelajar pembangunan kebolehan dan bakat mereka dalam bidang keusahawanan.

“Adalah penting untuk pelajar memahami bahawa menjadi seorang usahawan yang berjaya bukan sahaja keuntungan yang diberi perhatian. Nilai seperti amanah, jujur, prihatin, gigih dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan adalah penting.

“Nilai-nilai ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan usahawan cemerlang yang boleh menyumbang kepada ekonomi dan menjadikan negara sebuah negara keusahawanan menjelang 2030 seperti yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN2030),” kata beliau dalam ucapannya di Dewan Besar MRSM Ulul Albab Felda Trolak, Sungkai di sini hari ini.

Abdul Fattah turut merasmikan Majlis Anugerah Pengiktirafan Perolehan RM1 juta Koperasi MRSM Felda Sungkai Berhad.

Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak, Zuhaini Romli, Timbalan Pengarah 1 (Hal Ehwal Pelajar) Bahagian Pendidikan Menengah Mara, Meor Mohammad Khalif Meor Mohamad Omar dan Pengetua MRSM Ulul Albab Felda Trolak, Zeidi Zakaria.

Koperasi MRSM Felda Sungkai Berhad berjaya mencatat perolehan RM1 juta kerana kepelbagaian teras perniagaan yang merangkumi kedai koperasi, dobi, taska dan caj perkhidmatan kurier melibatkan pelajar, guru dan kakitangan instisusi pendidikan itu.

Abdul Fattah percaya berdasarkan keanggotaan koperasi sekolah yang agak memberangsangkan, koperasi sekolah mampu membantu kerajaan menangani isu-isu yang berkaitan dengan kepenggunaan.

“Contohnya, penjualan barang keperluan pada harga yang berpatutan dengan bekalan terjamin melalui program Barang Asas 100 (BA100) yang merupakan jualan harga barangan runcit seperti beras, minyak dan gula untuk keperluan guru-guru dan kakitangan dengan harga yang berpatutan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya