174 premis terlibat laksana PJRM Kembali Ke Sekolah

174 premis terlibat laksana PJRM Kembali Ke Sekolah

ARMIZAN Mohd. Ali (dua, kanan) membantu salah seorang penerima memilih baju seragam sekolah sempena PJRM Kembali Ke Sekolah di Pusat Beli-belah ITCC Penampang, Sabah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) menerusi ‘PJRM Kembali Ke Sekolah’ ke 174 premis yang menjual barang kelengkapan persekolahan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, program yang diadakan sempena persediaan sesi persekolahan baharu itu menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus bagi barang kelengkapan persekolahan bermula 18 Januari hingga 16 Februari ini.

Beliau berkata, pasar raya, pusat membeli-belah dan kedai pakaian yang terlibat menawarkan 45 hingga 70 unit penyimpanan stok (SKU) seperti pakaian seragam sekolah, kasut, beg dan kelengkapan alat tulis.

“Setakat semalam, daripada 243 program yang disasarkan, sebanyak 101 PJRM Kembali Ke Sekolah telah diadakan di seluruh negara.

“Pelaksanaan PJRM Kembali Ke Sekolah adalah sebahagian daripada program-program di bawah inisiatif Payung Rahmah yang menerima peruntukan RM300 juta dalam Belanjawan 2025,” katanya semasa sidang akhbar sempena PJRM Kembali Ke Sekolah di Pusat Beli-belah ITCC, hari ini.

Armizan berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, sambutan cukup luar biasa, walau bagaimanapun, jumlah mereka yang menerima manfaat menerusi PJRM Kembali Ke Sekolah hanya akan diketahui selepas program ini berakhir.

Mengulas tentang penguatkuasaan bagi memantau harga barang kelengkapan persekolahan, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, pihak KPDN akan sentiasa memantau sekiranya ada elemen pencatutan dalam penjualan barang-barang keperluan persekolahan sempena musim cuti sekolah ini.

“Kita sentiasa mengalu-alukan aduan dan laporan daripada orang awam. Jika dilihat pada tahun lepas, salah satu daripada agenda penting KPDN adalah ketangkasan dalam penguatkuasaan.

“Jika ada mana-mana aduan berkaitan harga, kita akan pastikan tindakan susulan diambil dalam tempoh 24 ham untuk kita melakukan semakan mengenai elemen pencatutan. Itu prosedur operasi standard (SOP) yang kita tetapkan,” katanya.

Jelas beliau, aduan juga perlu dilaporkan kepada saluran aduan yang KPDN telah sediakan beserta butiran-butiran yang diperlukan agar tindakan susulan boleh diambil. – UTUSAN

CAPTION
ARMIZAN Mohd. Ali (dua, kanan) membantu salah seorang penerima memilih baju seragam sekolah sempena PJRM Kembali Ke Sekolah di Pusat Beli-belah ITCC Penampang, Sabah, hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya