HULU TERENGGANU: Kira-kira 40 peratus pegawai dan anggota polis di Terengganu belum memenuhi syarat mempunyai indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 28 untuk menikmati kenaikan pangkat.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, ketika ini kontinjen Terengganu mempunyai kira-kira 3,900 pegawai dan anggota polis.
“Pelbagai aktiviti riadah dan program dilaksanakan bagi memberi semangat kepada semua pegawai dan anggota terutama mereka yang BMI masih melebihi 28.
“Selain program kayuhan basikal, aktiviti sukan seperti mendaki bukit serta jogging juga antara riadah dilakukan. Mereka yang punyai BMI masih kurang daripada 28, diharap dapat terus berusaha mencapainya.
“Bukan untuk syarat kenaikan pangkat semata-mata tetapi kesihatan pegawai dan anggota. Warga Polis Diraja Malaysia perlu dalam keadaan fit serta sihat untuk bertugas di lapangan,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Perkep Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di Kuala Berang, di sini semalam.
Superintenden Sharudin Abdul Wahab dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu menggantikan Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin yang bertukar ke Ibu pejabat Polis Kontinjen Terengganu.
Pada 17 Januari lalu. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pegawai polis yang BMI melebihi 28 tidak akan dinaikkan pangkat dalam memastikan kesihatan mereka sentiasa berada pada tahap terbaik.
Beliau berkata, syarat tambahan itu yang ditetapkan dalam pemberian pemangkuan jawatan dan kenaikan pangkat adalah selaras dengan Arahan Ketua Polis Negara No. 202 Dasar Trim and Fit yang berkehendakkan BMI berada pada paras kurang daripada 28.
“Inisiatif tersebut penting bagi memastikan kesihatan serta keterampilan Pegawai Polis sekali gus melonjakkan kemampuan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Mohd. Khairi berkata, hanya satu kemalangan maut direkodkan dalam tempoh sepanjang pelaksanaan Op Selamat 23/2025 Tahun Baharu Cina di negeri ini.
“Kes itu membabitkan penunggang motosikal di daerah Kemaman. Sementara itu, sebanyak 7,739 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terutama memandu melebihi had laju,” katanya.-UTUSAN