PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok berjaya memudah cara penghantaran pulang seramai 15 orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar.
Menurut kenyataan Wisma Putra, kesemua mangsa selamat tiba di di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam hari ini dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu proses siasatan selanjutnya.
Katanya, pihak berkuasa Myanmar telah menyerahkan kepada pihak berkuasa Thailand pada 12 Februari lalu dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok segera memberikan bantuan konsular yang menyeluruh.
“Bantuan tersebut merangkumi lawatan konsular, menghubungi waris dan mengeluarkan dokumen perjalanan sementara.
“Kedutaan juga telah mengatur pengangkutan serta menyediakan barangan keperluan asas termasuk makanan dan pelitup muka, di samping mengiringi mangsa sepanjang perjalanan mereka selama 25 jam dari Wilayah Tak, Thailand ke Bukit Kayu Hitam,” katanya hari ini.
Kata Wisma Putra, kejayaan proses penghantaran pulang ini adalah kerjasama erat daripada Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
Pada masa sama, Kementerian Luar Negeri ini merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand atas bantuan mereka dalam menerima warganegara Malaysia dari Myanmar serta mempercepatkan proses penghantaran pulang mereka.
“Kementerian Luar Negeri kekal komited dalam memastikan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara.
“Perwakilan diplomatiknya sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular apabila diperlukan,” katanya. – UTUSAN