PETALING JAYA: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati 15 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di Myanmar dipaksa bekerja sebagai scammer atau penipu siber bagi pelaburan kripto, bitcoin dan scam percintaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan lanjut turut mendapati semua individu terdiri daripada 12 lelaki serta tiga wanita berusia antara 21 hingga 45 tahun dipaksa menjadi juruteknik komputer dan telefon bimbit bagi melancarkan urusan aktiviti penipuan terbabit.
Katanya, kesemua mereka didapati berada di Myanmar sejak 2023 dan 2024 selepas terpedaya dengan tawaran kerja di media sosial.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
“Keterangan seramai 15 individu itu telah selesai dirakam pihak polis dan mereka kini diserahkan kepada keluarga masing-masing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan polis akan mengambil keterangan seramai 15 rakyat Malaysia termasuk tiga wanita menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar selepas selamat tiba di tanah air kira-kira 2.30 petang melalui Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Kementerian Luar dilaporkan berkata, mereka adalah antara 261 mangsa yang diselamatkan daripada sindiket penipuan itu dan diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand pada 12 Februari lalu.
Media sebelum ini melaporkan 261 mangsa diselamatkan pihak berkuasa Myanmar di bandar sempadan KK Park dan Shwe Kokko sebelum dipindahkan ke Thailand untuk proses penghantaran pulang ke negara masing-masing.
Proses dokumentasi kemudian dilakukan pihak berkuasa Thailand sebelum menghantar proses penghantaran pulang mangsa.
Razarudin berkata, setakat ini kesemua mereka memberikan kerjasama sepanjang proses rakaman percakapan.
“Hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan juga mendapati tiada sebarang kesan kecederaan yang berlaku kepada kesemua mangsa.
“Hasil semakan daripada pihak Jabatan Imigresen mendapati kesemua pergerakan keluar mangsa adalah sah dengan melalui jalan yang diwartakan,” katanya.