14 mangsa keguguran selepas guna produk kecantikan

14 mangsa keguguran selepas guna produk kecantikan

KUMPULAN pengguna yang mengalami kesan teruk selepas menggunakan produk tinggi kandungan merkuri tersebut dalam sidang akhbar di Wisma MCA, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akibat kemaruk mahukan kulit putih dalam masa yang singkat, sekumpulan pengguna mengalami masalah kesihatan yang serius selepas menggunakan produk kosmetik tinggi kandungan merkuri. 

Antara kes yang paling membimbangkan ialah 14 wanita mengalami keguguran selepas menggunakan produk tinggi kandungan merkuri dikenali Molly Care Night Cream. 

Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, terdapat juga bayi yang dilahirkan dengan keadaan badan membengkak dan dipenuhi ruam akibat pendedahan kepada bahan berbahaya dalam produk itu.

“Produk kosmetik berharga RM450 satu set itu dipercayai dihasilkan di China sebelum dipasarkan secara agresif di Malaysia. 

“Mangsa mendakwa bahawa ketika menggunakannya, tiada kesan sampingan ketara, namun sebaik sahaja berhenti, kulit menjadi bengkak dan timbul jerawat yang teruk,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini. 

Seramai 40 mangsa telah tampil membuat aduan mengenai kesan buruk produk tersebut termasuk ruam teruk, badan bengkak serta komplikasi kepada bayi yang baru lahir.

“Produk tersebut dijual secara dalam talian, terutamanya melalui Instagram oleh pempengaruh tempatan yang hanya memaparkan ulasan positif tanpa mendedahkan kandungan sebenar produk tersebut,” katanya

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan perundangan kepada syarikat pengeluar produk terbabit dan mendapatkan pampasan mangsa.

Pengguna produk yang hanya mahu dikenali sebagai Poh, berkata, dia telah membeli produk tersebut sebanyak 35 set dengan harga RM14,260 sejak 2021. 

“Saya mula menggunakan produk tersebut pada 2021 dan mendapati kulit mula membengkak dan terdapat kesan ruam yang teruk. 

“Kemudian, saya menggunakan semula produk terbabit dan mendapati kulit kembali pulih,” katanya. 

Jelasnya, dia berhenti menggunakan produk itu sepenuhnya selepas menyedari kesan yang ditunjukkan adalah disebabkan kandungan merkuri yang tinggi. 

Pada 5 Februari lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa notifikasi produk Molly Care telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi dan produk tersebut tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.

KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengesan sebanyak lima produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, Betamethasone 17-Valerate, Hydroquinone dan Tretinoin.

Lima produk itu termasuk Molly Care Night Cream, Pinkkiss Beauty Care Herbal Cream, Pinkkiss Beauty Care Treatment Cream, Karisma Brightening Day Cream dan Ufora Advance Repair Solution.

KKM dalam kenyataan berkata, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya