MELAKA: Sebanyak 14 kesan tikaman dikesan pada tubuh seorang penyanyi sambilan yang dipercayai dibunuh di bilik sewanya di Taman Seri Mangga, Pokok Mangga di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tiga tikaman dikesan pada muka, lima tikaman masing-masing pada dada dan bahagian lengan kiri serta satu tikaman pada betis kaki kanan.
Katanya, luka kesan hirisan turut ditemukan pada bahagian dada dan tangan kiri serta lebam pada dahi sebelah kiri mangsa.
“Pemeriksaan dalaman mendapati terdapat kecederaan serius iaitu satu luka tikaman di dada kiri. Tikaman tersebut menembusi aorta interkostal kedua sehingga ke aorta menaik yang mengakibatkan pendarahan dan pengumpulan darah dalam kantung jantung sehingga menyebabkan kematian.
“Pakar perubatan forensik mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan luka tikaman pada aorta. Selain itu, pakar turut mengesahkan si mati telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam daripada waktu bedah siasat dijalankan,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang wanita berusia 52 tahun ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di atas katil bersama seorang lelaki berusia 54 tahun yang ketika itu berada berhampirannya dalam keadaan cedera.
Polis turut merampas dua bilah pisau pemotong sayur dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Lelaki yang juga penganggur itu kemudiannya ditahan reman sehingga 2 Mac ini dan cemburu dipercayai menjadi motif pembunuhan ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Tambah Christopher, ahli keluarga mangsa telah menuntut mayat wanita terbabit kira-kira pukul 7 malam pada Isnin. – UTUSAN