GERIK: Bomba mengambil masa hampir 12 jam untuk membawa keluar seorang wanita Orang Asli dari kampungnya, Kampung Lenweng, Pos Kemar di sini hari ini bagi mendapatkan rawatan selepas dipatuk ular.
Mangsa, Ana Along, 32, dipatuk ular sejak Selasa lalu dan mengalami gejala muntah serta tidak mampu berjalan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 3 petang, semalam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dan Pengkalan Hulu telah diatur gerak ke kampung yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Pos Kemar.
“Untuk sampai ke kampung itu, anggota bersama pasukan polis dan malim gunung perlu melalui kawasan yang berbukit dan melintasi sungai.
“Pasukan penyelamat tiba di sana pada tengah malam tadi dan dalam perbincangan bersama pegawai perubatan, mangsa perlu dibawa keluar segera bagi mendapatkan rawatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi membawa keluar mangsa bermula pada pukul 8 pagi dan berjaya tiba di Pos Kemar pada pukul 7 petang.
Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Pos Kemar untuk rawatan namun pegawai perubatan memaklumkan wanita itu perlu dihantar ke hospital dengan segera.
“Ketua operasi dan anggota akan mengiringi mangsa ke hospital. Operasi membawa keluar mangsa disertai lima anggota bomba bersama dua anggota polis dan dua malim gunung,” katanya. – UTUSAN