KUALA LUMPUR: Seramai 116 orang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang menyertai secara sukarela berjaya menamatkan latihan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini, hari ini.
Latihan selama 45 hari tersebut melibatkan 73 orang pelatih lelaki dan 43 pelatih wanita yang berusia antara 18 hingga 27 tahun.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, PLKN 3.0 kali ini tidak hanya memberi tumpuan kepada latihan ketenteraan tetapi juga menekankan aspek kenegaraan serta pembangunan kemahiran yang relevan dengan cabaran semasa.
“Program PLKN 3.0 menggunakan modul latihan yang mengintegrasikan 70 peratus latihan asas ketenteraan dan 30 peratus komponen kenegaraan.
“Ini adalah satu usaha penting dalam membentuk generasi muda dengan memberikan mereka kemahiran insaniah, keusahawanan, dan teknologi melalui modul latihan dijalankan.
“Selain itu, PLKN 3.0 juga memberi penekanan kepada pembentukan semangat patriotisme dan jati diri dalam kalangan generasi muda,” katanya pada sidang akhbar Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 1/2025 hari ini.
Sementara itu, Adly berkata, siri kedua PLKN 3.0 bakal dijalankan pada 11 Mei hingga 24 Jun, manakala siri ketiga pada 7 September hingga 21 Oktober di dua kem, iaitu Kem Rejimen 515 Askar Wataniah dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan, Pahang.
Jelasnya, bagi pengambilan kedua dan ketiga, jumlah pelatih akan ditingkatkan kepada 500 orang.
Adly berkata, pengambilan pelatih akan dijalankan seperti biasa dan kerajaan masih mengalu-alukan mereka yang ingin menyertai PLKN secara sukarela.
Mengulas lanjut, Adly berkata, terdapat beberapa aspek yang boleh diperhalusi bagi program PLKN akan datang, terutamanya daripada segi infrastruktur dan modul latihan.
“Mengenai keperluan kelengkapan, kami memastikan bahawa semua keperluan, termasuk baju seragam mencukupi untuk pengambilan seterusnya.
“Kami juga akan menguruskan penyediaan kelengkapan ini dengan baik supaya tiada masalah timbul dalam penyediaan keperluan untuk para pelatih,” katanya.
Sementara itu, seorang pelatih, Muhammad Zulirfan Mustaqim Mohd. Zukri, 18, berkata, sokongan keluarga, terutama ibunya menjadi motivasi yang mendorongnya untuk menyertai PLKN.
Jelasnya, walaupun dirinya menghadapi masalah pembelajaran, ia bukanlah penghalang untuk dia berjaya menamatkan program latihan itu.
“Walaupun saya menghadapi pelbagai cabaran, salah satunya adalah masalah pembelajaran, saya paksa diri untuk mendalami ilmu di sini. Tidak pernah sekalipun saya patah semangat untuk menamatkan latihan.
“Selain itu, saya juga mempunyai minat yang mendalam dalam bidang ketenteraan. Saya harap, pengalaman ini akan menjadikan saya seorang yang lebih berani untuk menghadapi abaran pada masa depan,” katanya. – UTUSAN