11 jam padam kebakaran belukar di Melaka

11 jam padam kebakaran belukar di Melaka

BELUKAR di puncak bukit berhampiran Taman Muzaffar Height di Ayer Keroh, Melaka terlibat dalam kebakaran besar petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bomba mengambil masa 11 jam untuk memadamkan kebakaran belukar seluas kira-kira 6.8 hektar sekitar Taman Muzaffar Height di sini, semalam.

Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba II Mohd. Khairulnizam Mohamad Anuar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.50 petang dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

Katanya, seramai 29 anggota dan 10 aset dikerahkan ke lokasi kebakaran.

“Operasi pemadaman melibatkan empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Ayer Keroh, Bukit Katil, Melaka Tengah dan Tangga Batu. Turut terlibat 22 anggota daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Melaka dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

“Kebakaran belukar dianggarkan berkeluasan 1.2 hektar dan terbahagi kepada tiga kawasan iaitu kawasan A di puncak bukit, kawasan B di sebelah Kondominium Muzaffar Height dan kawasan C di pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kata Mohd. Khairulnizam, BBP Ayer Keroh dibantu jentera BBP Tangga melakukan pemadaman dari atas puncak bukit menggunakan dua aliran hos sepanjang 500 kaki dari tangki air jentera.

“Pihak SAMB turut memberi bantuan sumber air dengan membuka pintu tangki air yang terdekat. Bagi kawasan B dan C, jentera BBP Bukit Katil dan Melaka Tengah mengawal dan memadam api menggunakan dua aliran hos sepanjang 300 kaki dari jentera tangki serta salur bantu mula dan kaedah pemerap api.

“Cuaca kering dan angin kencang menjadi antara punca api merebak dengan pantas membabitkan kawasan seluas 6.8 hektar. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.28 pagi tadi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya