PETALING JAYA: Seramai 1,086 mangsa banjir di Sarawak dan Sabah masih berlindung di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri setakat jam 8 pagi ini.
Di Sarawak, jumlah mangsa banjir menunjukkan sedikit peningkatan kepada 609 orang pagi ini berbanding 604 orang malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, tujuh PPS masih beroperasi dengan tiga daripadanya terletak di kawasan Mukah yang menempatkan 308 mangsa berbanding 303 orang semalam.
Sementara itu, di Miri, seramai 210 orang ditempatkan di dua PPS, di Bintulu pula menempatkan 88 orang di satu PPS dan di Sibu, tiga orang masih berlindung di sebuah PPS.
Di Sabah, Sekretariat JPBN memaklumkan, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 477 orang melibatkan 145 keluarga pagi ini, berbanding 505 orang daripada 159 keluarga malam tadi.
Daripada jumlah itu, seramai 302 orang daripada 99 keluarga ditempatkan di dua PPS yang beroperasi di Beaufort, manakala 175 orang membabitkan 46 keluarga berada di dua PPS di daerah Kinabatangan.
Menurut kenyataan JPBN Sabah, keadaan banjir semakin pulih dan trend pemindahan mangsa di semua daerah kekal berkurangan. – UTUSAN