PETALING JAYA: Sebanyak 1,080 taska masih lagi belum berdaftar di seluruh negara setakat 2025.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, daripada jumlah itu, 95 buah taska yang belum berdaftar adalah di Sarawak.
“Di seluruh negara, 1,080 yang tidak berdaftar yang kita tahu seperti yang telah saya maklumkan sebelum ini.
“Kalau sudah menghantar permohonan yang dalam proses dan kita belum luluskan lagi, tapi mereka beroperasi, kita tahu sudah tentu kalau mereka beroperasi kita akan ambil tindakan, ini dalam bidang kuasa pentadbiran kementerian,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambahnya, setakat ini sehingga 10 Januari lepas, sebanyak 20 taska telah berjaya mendapat perakuan pendaftaran.
Sementara itu, Nancy juga mendedahkan bahawa sebanyak 16 taska di Sarawak telah berhenti beroperasi disebabkan kekurangan anak jagaan atau gagal mematuhi peraturan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Manakala 59 lagi taska di negeri itu telah diberi notis peringatan dan dalam tindakan selanjutnya.
Nancy berkata, Sarawak mempunyai 142 pusat jagaan kanak-kanak berdaftar, termasuk 65 di Kuching, 22 di Samarahan, 13 di Miri dan 42 di bahagian lain setakat 31 Januari 2025.
“Daripada jumlah ini, 103 adalah pusat jagaan kanak-kanak institusi, 14 adalah taman asuhan kanak-kanak di tempat kerja, empat adalah taman asuhan kanak-kanak komuniti dan 21 adalah taman asuhan kanak-kanak di rumah.
“Bagaimanapun, masih terdapat 95 pusat jagaan kanak-kanak tidak berdaftar di negeri ini,” kata Nancy, sambil menyatakan bahawa sebahagian daripadanya mungkin masih dalam proses permohonan.
Setakat semalam (10 Januari), Nancy menambah, 20 pusat jagaan kanak-kanak di negeri itu berjaya menerima sijil pendaftaran mereka di mana sebahagian daripadanya telah disampaikan plak pada satu majlis di Kuching, semalam.
“Sementara itu, 16 pusat jagaan kanak-kanak di Sarawak telah diberhentikan operasi mungkin disebabkan sumber tidak mencukupi atau kegagalan memenuhi keperluan ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
“Selain itu, 59 pusat telah dikeluarkan notis amaran dan sedang dalam tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN