PUTRAJAYA: Kabinet hari ini tidak membincangkan mengenai dakwaan 435 rakyat Malaysia didakwa antara 1.44 juta individu yang menerima arahan akhir daripada Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat (AS) untuk pengusiran.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, sebaliknya berhubung perkara itu boleh dirujuk dengan Wisma Putra.
“(Mesyuarat Jemaah Menteri) tidak membincangkan perkara ini tetapi saya minta untuk rujuk dengan Wisma Putra,” katanya pada sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Sebelum ini, terdapat laporan media mendedahkan seramai 435 rakyat Malaysia didakwa antara 1.44 juta individu yang menerima arahan akhir daripada ICE AS untuk pengusiran.
Mereka kini dilaporkan berada dalam doket bukan tahanan ICE dan menerima arahan akhir pengusiran selepas Donald Trump dilantik presiden AS untuk kali kedua.
Menurut ICE, warga asing yang menerima arahan akhir pengusiran masih boleh mendapatkan perlindungan melalui suaka di AS sebagai pelarian atau bawah Konvensyen Menentang Penyeksaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Susulan itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan Kedutaan Malaysia di Washington belum menerima sebarang notis rasmi daripada pihak berkuasa AS berhubung dakwaan arahan akhir pengusiran itu.
Bagaimanapun, Wisma Putra turut memberi jaminan pihaknya akan memantau situasi berkenaan dengan rapi dan mengeluarkan sebarang perkembangan terkini jika perlu.
Sementara itu, Fahmi berkata, Kabinet tidak membincangkan secara khusus berhubung pembubaran Unit Jabatan Keadilan (DoJ) AS yang memainkan peranan penting dalam siasatan skandal, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ia susulan laporan media antarabangsa yang melaporkan Unit DoJ AS yang memainkan peranan penting dalam siasatan skandal, 1MDB diarah dibubarkan.
Menurut seorang wartawan penyiasatan, Bradley Hope, penutupan Kleptocracy Asset Recovery Initiative (KARI) dan Task Force Klepto Capture itu diumumkan oleh Peguam Negara AS, Pam Bondi, dalam e-mel yang dihantar kelmarin. – UTUSAN