PETALING JAYA: Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menyifatkan cadangan kerajaan untuk menetapkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing pada kadar dua peratus sebagai langkah yang wajar.
ACCCIM berkata, kadar tersebut yang dikurangkan daripada cadangan asal sebanyak 12 peratus telah mengambil kira peningkatan kos operasi yang tinggi serta persekitaran perniagaan akibat kesan negatif langkah-langkah tarif oleh ekonomi utama.
“Kami berasa lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan bahawa kadar caruman majikan tidak akan dinaikkan dalam tempoh jangka pendek.
“Namun, ACCCIM berharap cadangan pindaan Akta KWSP 1991 akan mewujudkan mekanisme yang telus dan mantap untuk menyemak semula kadar caruman KWSP,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, kerajaan mengumumkan cadangan untuk memperkenalkan kadar caruman mandatori dua peratus bagi pekerja asing yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu ini.
Kementerian Sumber Manusia dijangka mengumumkan butiran lanjut mengenai pelaksanaan dasar tersebut.
ACCCIM berkata, proses semakan semula perlu melibatkan penilaian berkala terhadap keadaan ekonomi dan perniagaan dengan berunding bersama pemegang taruh yang berkaitan.
Sebagai pengantara utama antara komuniti perniagaan dan kerajaan, ACCCIM komited untuk menyediakan maklum balas membina serta bekerjasama dalam memperhalusi dasar yang dapat menyokong pertumbuhan ekonomi mampan dan membantu perniagaan menghadapi cabaran yang berterusan. – UTUSAN