KUALA TERENGGANU: Malaysia berisiko kehilangan sehingga 10 peratus litupan terumbu karang di sepanjang perairannya akibat perubahan iklim dunia, pencemaran dan penggunaan pukat dalam industri perikanan.
Faktor-faktor berkenaan mengganggu tumbesaran terumbu karang yang menyebabkan kesihatan hidupan itu merosot.
Laporan terbaru Reef Check Malaysia (RCM) mendedahkan, tahap kesihatan terumbu karang di negara ini mengalami kemerosotan untuk dua tahun berturut-turut iaitu sebanyak 44.65 peratus pada 2024 dan 45.87 peratus pada 2023 berdasarkan Laporan Tinjauan Tahunan 2024.
Pakar penyelidik batu karang dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Tan Chun Hong berkata, perubahan iklim dunia dan faktor pemanasan global mengganggu tumbesaran karang lantas menyebabkan kesihatannya terus merosot.
Katanya, faktor lain seperti pencemaran, penggunaan pukat dan pelancongan secara tidak terkawal turut memberi kesan.
“Kami di UMT telah memulakan projek peneluran karang dan melepaskan sebanyak 600,000 benih karang di Pulau Bidong pada 2022. Usaha ini masih kita teruskan hingga sekarang namun tengkujuh yang baru sahaja berlaku merencatkan prosesnya ketika ini.
“Untuk data di Terengganu, saya belum ada laporan lengkap namun menggambarkan antara 30 hingga 40 peratus habitatnya telah terjejas ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, berdasarkan data UMT, proses peneluran masih berlaku setakat September tahun lalu melalui batu karang yang masih hidup.
“Namun, jumlahnya tidak begitu memberangsangkan kerana terlalu banyak batu karang yang telah mati akibat kelunturan. Bagi batu karang yang tidak mati akibat kelunturan pula, ia berkemungkinan mengalami beberapa kesan seperti kurang subur yang menyebabkan kualiti telur dan sperma atau benih tidak begitu baik.
“Sudah pasti, perkara ini mengakibatkan persenyawaan menjadi rendah dan lebih membimbangkan sekiranya ia tidak lagi berupaya melakukan proses peneluran,” katanya.
Sementara itu, seorang jurulatih selaman skuba, Mohd. Izzat Mahyuddin, 37, berkata, terumbu karang di Terengganu adalah antara yang tercantik di dunia dan ia terbukti dengan pengiktirafan beberapa badan pelancongan terkenal sebelum ini, namun sejak akhir-akhir ini, keindahan itu semakin hilang berikutan kelunturan karang berskala besar.
Antara terumbu karang tercantik yang menjadi tarikan pelancong ke Terengganu ialah di Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol, Pulau Bidong dan Pulau Lang Tengah.
Katanya, berdasarkan pengalamannya, keindahan terumbu karang di Terengganu masih terpulihara sehingga berlakunya ribut tropika Pabuk pada awal Januari 2019.
“Saya mula terlibat dengan aktiviti selaman skuba ini sejak 2002 dan menyaksikan sendiri betapa cantiknya terumbu karang di Terengganu.
“Seiring faktor pemanasan global, kelunturan karang berlaku secara berperingkat, namun tidaklah begitu terjejas hingga perairan pulau kita turut menerima tempias ribut yang dahsyat itu pada 2019,” katanya. – UTUSAN