KUALA LUMPUR: Perancangan berkolaborasi dengan penyanyi terkenal India, Hip Hop Tamizha disifatkan penyanyi, Zubir Khan sebagai peluang yang tidak wajar disia-siakan.
Pemilik nama penuh Muhammad Zubir Mohamad Ali itu menganggap kerjasama berkenaan akan membuka pintu untuk dia menembusi pasaran muzik negara tersebut.
“Tahun lalu saya diundang untuk menyanyi sempena konsertnya di Malaysia. Selepas ini kami akan berkolaborasi lagi.
“Kami sudah pun berhubung dan bincangkan tentangnya. Tapi masih terlalu awal untuk saya kongsikan.
“Apa yang boleh saya katakan adalah akan ada sesuatu menanti peminat kami,” katanya yang ditemui sempena konsert ambang merdeka Suria FM x The Curve baru-baru ini.
Penyanyi berusia 24 tahun itu mencuri tumpuan ketika membuat persembahan sempena konsert Hip Hop Tamizha di Malaysia Ogos tahun lalu.
Zubir yang juga penerima anugerah Muhibbah tahun lepas tidak menafikan bahawa dia selama ini memasang impian untuk mencipta nama di India dan membawa nama Malaysia ke negara itu.
“Bukan mudah untuk penyanyi luar mencipta nama di India, tapi ia juga bukanlah perkara yang mustahil.
“Kebetulan pula lagu bahasa Tamil yang saya hasilkan sesuai dengan citarasa masyarakat di sana.
“Jadi saya tidak akan berputus asa. Kalau dapat peluang berkarya di India, Alhamdulillah,” kongsinya.