PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai satu projek kerjasama ekonomi antara dua buah negara yang unik.
Perdana Menteri berkata, inisiatif dan kerjasama dua buah negara itu jarang ditemui di mana-mana tempat dan bahagian di dunia.
“Ini adalah inisiatif yang unik dan sangat jarang kita lihat dua negara dapat bekerjasama sebagai satu pasukan.
“Anda boleh perhatikan mana-mana bahagian di dunia di mana dua negara memutuskan untuk bekerjasama, mempromosikan kedua-dua negara, menarik pelaburan dan membina hubungan yang kukuh,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong di sini hari ini.
Katanya, kebiasaanya kebanyakan negara mempunyai kejelasan dalam dasar ekonomi, serta pendirian atau dasar yang jelas untuk menarik pelaburan.
Malah, katanya, kebanyakan negara juga bersifat selektif dalam mendapatkan pelaburan yang selari dengan keperluan dan permintaan masa depan.
Berbeza dengan JS-SEZ, Anwar berkata, zon ekonomi khas ini adalah satu insentif yang besar bagi kedua-dua negara dan ia adalah sesuatu yang jarang berlaku.
Sementara itu, Wong berkata, beliau melihat potensi JS-SEZ bukan setakat hanya memanfaatkan Johor dan Singapura sahaja sebaliknya kedua-dua negara boleh bekerjasama dalam menarik projek pelaburan baru global ke zon berkenaan.
Menurutnya, jika perkara ini dapat dilaksanakan, kedua-dua negara dapat memasarkan zon ekonomi khas itu ke peringkat global sekali gus menarik pelaburan asing.
“Zon ekonomi khas itu diharap dapat memperkukuh potensi, memperluaskan peluang dan mewujudkan pekerjaan yang baik untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Terdahulu, pada majlis sama, kedua-dua negara saling bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) perjanjian bersama JS-SEZ dimana Malaysia diwakili Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli manakala, Singapura pula diwakili timbalan perdana menterinya, Gan Kim Yong.
Idea penubuhan zon itu pertama kali dicetuskan Rafizi selepas pertemuan dengan kerajaan Johor di Iskandar Puteri pada Mei tahun lalu.
Pemeteraian MoU JS-SEZ itu dilaksanakan hanya selepas dua bulan Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10 Oktober tahun lalu. – UTUSAN