PETALING JAYA: Pengarah Malaysia, Datuk Yusry Abdul Halim, diberi kepercayaan mengarahkan filem aksi, Bandit, yang bakal menelan belanja melebihi RM16.4 juta.
Membabitkan kerjasama produksi dua negara iaitu Singapura dan Malaysia, Bandit bakal mengangkat kisah perjuangan para nasionalis yang berusaha mempertahankan khazanah negara daripada di bawa keluar dari Tanah Melayu pada tahun 1920-an.
Menggabungkan tenaga kerja Oceanus Media Global dan Filmforce Studio Malaysia, filem ini juga bakal menggunakan alat berteknologi tinggi dengan gabungan kecanggihan produksi maya dan kecerdasan buatan untuk beberapa adegan.
“Kami mahu menghasilkan standard baharu sinema serantau dengan menghasilkan sebuah filem blockbuster yang mampu menarik perhatian penonton di Malaysia dan Singapura.
“Dengan pelakon-pelakon terkemuka dari kedua-dua negara, kolaborasi ini menandakan satu pencapaian penting untuk kerjasama rentas sempadan dalam industri kreatif,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Oceanus Media Global, Nick Tan dalam satu kenyataan.
Senada dengan itu ialah Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman yang merasakan usaha ini sangat penting untuk mengukuhkan lagi ekosistem hiburan serantau dengan mengetengahkan budaya tempatan.
“Kerjasama antara Oceanus Media Global dan Filmforce Studio Malaysia adalah contoh terbaik bagaimana perkongsian rentas sempadan dapat memperkasakan sinema Asia Tenggara.
“Bandit bukan sekadar sebuah filem tetapi ia merupakan bukti kepada apa yang boleh dicapai apabila teknologi bertaraf dunia digabungkan dengan naratif budaya yang kaya.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen jangka panjang Oceanus Media Global dan Filmforce Studio Malaysia untuk memperluas sempadan penceritaan dan teknologi pembikinan filem di Asia Tenggara,” jelasnya.
Penggambaran filem Bandit dijangka bermula pada suku kedua tahun 2025 dan diarahkan oleh Datuk Yusry Abdul Halim. -UTUSAN