LUMUT: Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah memuji persembahan anak buahnya selepas kemenangan 7-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) semalam.
Dalam perlawanan di sini semalam, Clayton Da Silva cemerlang apabila meledak empat gol.
Luciano Guaycochea, Adilet Kanybekov dan Tommy Mawat Bada masing-masing satu gol bagi Perak naik tiga anak tangga pada kedudukan kelima liga dengan mengumpul 22 mata.
Yusri berpuas hati dengan prestasi keseluruhan anak buahnya yang memanfaatkan peluang diberikan untuk beraksi dengan baik bagi memperbaiki kedudukan liga.
“Tahniah kepada pemain kerana mereka menggunakan peluang yang ada tanpa melepaskan sebarang gol pada pihak lawan, malah peluang yang dicipta berjaya menghasilkan gol.
“Kita juga berjaya mendapatkan jaringan yang banyak dan harap para pemain dapat kekalkan momentum kerana masih ada beberapa perlawanan yang penting dan lebih sukar untuk kita harungi musim ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan semalam.
Yusri mahu fokus kepada setiap perlawanan apabila dijadualkan bertemu Kuching City FC pada 7 Februari di Stadium Negeri, Kuching sebelum bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada 27 Februari depan.
Jelasnya, saingan sudah hampir sampai ke penghujung liga dan pemain seharusnya memastikan setiap minit perlawanan cukup berharga untuk merebut segala peluang sehingga akhirnya berjaya bantu pasukan raih tiga mata.
“Jika mereka sedar sebelum ini prestasi mereka tidak begitu baik, jadi mereka perlu memperbaiki diri sedikit demi sedikit untuk buat lebih baik daripada ini dalam aksi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih KDN, FC Rezal Zambery Yahya berkata, para pemainnya memanfaatkan peluang untuk membuktikan kemampuan apabila turun beraksi semalam.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pemain yang sanggup datang ke Manjung untuk bermain malam ini, walaupun saya hanya berjumpa mereka sehari sebelum perlawanan.
“Memang saya akui kondisi pemain tidak begitu baik kerana sudah agak lama tidak menjalani latihan bersama apatah lagi berhadapan dengan pasukan yang baik seperti Perak, kita cuba untuk beri saingan namun ia tidak menjadi,” katanya. – UTUSAN