Yayasan TM (YTM) baru-baru ini mewujudkan inisiatif Yayasan TM, TVET Madani, satu kerjasama komprehensif yang bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan kemahiran graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Inisiatif tersebut membuktikan komitmen YTM menyokong seruan kerajaan bagi pemain industri supaya memainkan peranan penting dalam meningkatkan kadar kebolehkerjaan dan menyumbang kepada transformasi digital negara.
YTM memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi memacu usaha kerjasama tersebut, dengan RM1.5 juta akan digunakan untuk menaja yuran pelajar TVET yang layak.
Selain itu, RM1.5 juta dilaburkan bagi menambah baik makmal rangkaian gentian optik dan digital di empat institusi utama, manakala RM500,000 lagi dibelanjakan untuk membangunkan modul baharu yang direka bagi merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan industri.
Pengarah YTM, Ainol Shaharina Sahar berkata, pihaknya percaya bahawa masa depan Malaysia terletak di tangan golongan belia, dan pendidikan mereka adalah asas kepada kemajuan negara kita.
Katanya, inisiatif tersebut bukan hanya sekadar satu pelaburan dalam pendidikan dan bakat tetapi contoh hasil yang boleh dicapai melalui kerjasama awam-swasta yang berkesan.
“Kami bekerjasama rapat dengan kerajaan dan institusi-institusi pendidikan dalam mewujudkan peluang yang bukan sahaja menyelaraskan pembelajaran akademik dengan keperluan industri tetapi juga memupuk bakat digital yang penting untuk pertumbuhan negara.
“Ini selaras dengan aspirasi TM untuk menjadi sebuah Digital Powerhouse menjelang 2030, memastikan graduan dilengkapi dengan kemahiran dan minda inovasi untuk berjaya dalam ekonomi digital, ujarnya.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir melancarkan inisiait tersebut di Politeknik Ungku Omar baru-baru ini.
Beliau turut merasmikan secara serentak tiga lagi makmal digital dan gentian optik di Politeknik Sultan Idris Shah (Selangor), Politeknik Mersing (Johor) dan Kolej Komuniti Ampang (Kuala Lumpur).
Pada tahun ini, YTM menyambut ulang tahun ke-30 dan kecemerlangan pendidikan telah menjadi fokus sejak penubuhannya.
YTM menyokong agenda pendidikan digital Malaysia dan mengutamakan kesaksamaan pendidikan untuk semua. – UTUSAN