Yayasan Restu anjur Festival Kesenian Al-Quran Antarabangsa

Yayasan Restu anjur Festival Kesenian Al-Quran Antarabangsa

Festival al-Quran
AHMAD Maslan menunjukkan mushaf al-Quran yang diterjemah dalam 25 bahasa oleh Yayasan Restu selepas merasmikan pra pelancaran Festival Kesenian Al-Quran Antarabangsa Restu Global dekat Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 30,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa dari lebih 50 negara dijangka menghadiri Festival Kesenian Al-Quran Antarabangsa Restu Global anjuran Yayasan Restu pada 24 Januari hingga 2 Februari ini.

Antara matlamatnya adalah mempromosikan seni khat, seni bina Islam, dan hiasan mushaf al-Quran yang mencerminkan keindahan hubungan antara ilmu, seni dan agama selain meningkatkan pengetahuan tentang seni dan budaya Islam.

Acara 10 hari yang diadakan di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor itu membolehkan pengunjung melihat mushaf Al-Quran dalam 25 bahasa dihasilkan oleh yayasan berkenaan selain menyaksikan pameran replika pelbagai peristiwa pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Timbalan Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penganjuran program tersebut bakal menerima kehadiran umat Islam dari seluruh dunia bagi menyertai pelbagai pengisian kerohanian.

“Antara paling utama adalah pameran kelambu atau kiswah Kaabah yang mungkin ramai belum pernah mendekatinya. Yang belum pernah pergi ke Mekah tetapi hendak pegang boleh datang ke festival.

“Selain itu, pengunjung boleh menyaksikan pameran pelbagai barangan dari Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Selain itu ada galeri kehidupan Rasulullah dari lahir sehinggalah Baginda wafat. Ada juga replika Gua Hira’ serta video interaktif peristiwa Israk dan Mikraj sempena kita berada pada bulan Rejab,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pra pelancaran Festival Kesenian Al-Quran Antarabangsa Restu Global, semalam.

Tambahnya, program tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 31 Januari sementara penutup pula disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 1 Februari.

“Kemudian ada waqaf al-Quran nasional yang merupakan usaha dilakukan oleh Ahmad Zahid pada setiap tahun di pelbagai lokasi dan pada kali ini pada perasmiannya nanti,” jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya memberitahu Yayasan Restu akan menghantar sumbangan berjumlah RM300,000 dalam bentuk makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk di Gaza.

“Kita mendermakan RM300,000 dana yang dikutip melalui usaha Yayasan Restu dan dihantar sumbangan itu untuk rakyat Palestin khasnya di Gaza. Kita berharap gencatan senjata akan berpanjangan.

“Walaupun Israel sukar untuk melaksanakan (gencatan senjata), tetapi kita berharap agar ia berterusan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya