PASIR MAS: Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) membelanjakan sebanyak RM5 juta setahun untuk menjaga kebajikan 977 anak yatim dan yatim piatu yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 977 penerima itu menerima Bantuan Kasih sejak 2022 secara berfasa termasuk 35 keluarga merangkumi 105 orang di Kelantan.
Katanya, mereka yang layak terdiri daripada keluarga yang berpendapatan rendah atau B40 yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19.
“YKM komited meneruskan pemberian Bantuan Kasih pada tahun ini kepada keluarga yang layak terutama mereka yang berada di kelompok B40.
“Ini adalah tanggungjawab YKM yang paling mustahak,” katanya selepas menziarahi keluarga Ahmad Hadzumi Nordin, 56, yang kematian isteri pada Jun 2021 dan tinggal di rumah uzur bersama 10 ahli keluarga di Kampung Bechah Palas Bunut Susu, di sini hari ini.
Yayasan AEON turut menyalurkan bantuan keperluan harian setiap kali program Ziarah Kasih diadakan.
Menurut Ismail Sabri, bermula tahun ini, anak-anak yang berusia di bawah 16 tahun menerima RM200 setiap bulan manakala yang berusia lebih daripada itu sehingga 18 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama menerima bantuan bulanan sebanyak RM250.
“YKM turut menyalurkan bantuan persekolahan dan menara gading sebanyak RM300 dan bantuan perayaan sebanyak RM300. Anak-anak yang cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menerima hadiah kecemerlangan,” katanya. – UTUSAN