KARAKTER Kak Yong daripada filem Bini-Biniku Gangster 14 tahun lalu nampaknya begitu ikonik sehingga membuatkan pelakon, Yana Samsudin terus diingati dengan panggilan itu.
Walaupun sudah bergelar ibu dengan imej berhijab, sosok seorang gangster tetap sahaja cocok dimainkan pelakon itu seperti dalam naskhah komedi terbaharu, Sahak Gangster.
Yana atau Norliana Samsudin, 40, bertegas mahu menjayakan babak aksi sendiri. Jika ada bantuan pelakon aksi sekalipun, dia mahu penglibatan mereka minimum agar adegan itu lebih nyata di layar.
Pengalaman lalu membintangi filem aksi psikologi 8 Jam yang terbit pada 2012 membuatkan Yana sudah arif membuat persiapan adegan bertumbuk dan berlawan. Petuanya, untuk memastikan badan tidak sakit semasa berlawan, Yana akan lumur seluruh badannya dengan campuran tiga jenis minyak.
“Semasa penggambaran filem 8 Jam, saya tengok para koreografer dan pelakon semua nampak baik-baik sahaja walaupun selepas menjayakan babak bergaduh yang sangat banyak sepanjang dua minggu.
“Seorang koreografer dari Thailand beri petua pakai tiga jenis minyak, lumurkan ke seluruh badan sebelum berlakon agar badan tidak sakit semasa berlawan. Selepas habis berlakon, bila sudah malam, barulah sakit itu akan terasa.
“Bukanlah ‘kebal’, sedangkan kita tepuk nyamuk di pipi pun sudah rasa sakit. Inikan lagi jika kita berlawan berulang-ulang. Itulah harga yang perlu dibayar menjadi pelakon,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bercerita mengenai penglibatannya dalam adegan aksi, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-23 merasakan pengarah memainkan peranan penting demi memastikan pelakon tidak terbeban selain mengurangkan risiko kecederaan.
“Jika pengarah rancang shoot dengan baik, InsyaAllah kita pelakon tidak perlu ulang banyak kali. Macam dalam filem Sahak Gangster, pengarah iaitu Ahmad Idham tahu shoot bagaimana yang dia mahukan, jadi ia mengurangkan risiko untuk cedera.
“Sebenarnya saya tidak suka air dan tidak mahir berenang. Dalam filem ini sangat mencabar apabila saya kena berlumba luncur jet (jet ski) adegan kejar-mengejar di tengah laut.
“Mahu pakai jaket keselamatan pun tidak boleh kerana nanti karakter saya macam tidak logik pula,” selorohnya.
Ditanya adakah ini petanda anak kelahiran Johor itu bakal kembali ke dunia lakonan setelah hiatus cukup lama, Yana tersenyum.
“Ya betul, kalau ada tawaran saya akan terima. Selama ini ada sahaja tawaran seperti drama, namun mereka suka beritahu seminggu sebelum penggambaran, saya terpaksa tolak kerana jadual saya agak padat.
“Tapi mungkin selepas bulan tiga saya akan lapang kerana sekarang saya sedang fokus menyelesaikan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dan perniagaan,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Yana tampil dalam filem aksi komedi terbaharu Sahak Gangster yang bakal menemui penonton 9 Januari ini.
Turut sama menjayakan filem arahan Dr. Ahamad Idham itu ialah Hariz Hamdan, Nelissa Nizam, Usop Wilcha, Chiwan Raja Lawak dan ramai lagi.