Wujud cubaan sebar ajaran The Ahmadi di Melaka

Wujud cubaan sebar ajaran The Ahmadi di Melaka

RAHMAD MARIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan wujud cubaan menyebarkan ajaran sesat The Ahmadi di negeri ini susulan sehelai kain rentang mempromosikan fahaman itu dikesan digantung pada sebuah jejantas di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Peringgit Jaya di sini, pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini ajaran The Ahmadi yang difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa negeri pada 3 Oktober 2024 masih belum bertapak di Melaka.

Katanya, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memandang serius cubaan tersebut dan akan bertindak tegas untuk mengekangnya.

“Ini tindakan (gantung kain rentang) pertama yang dikesan berlaku di negeri ini dan dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab pada waktu malam. Pada pendapat saya mungkin ada gerakan awal untuk mengembangkan ajaran ini di Melaka.

“Setakat ini kita tidak berdepan isu-isu ini tetapi kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba menyebarkan ajaran The Ahmadi kecuali mereka menyerah diri dan memohon bimbingan JAIM,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kain rentang digantung, hari ini.

Hadir sama Pengarah JAIM, Datuk Md. Azhan Samat.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, sehelai kain rentang ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light digantung pada jejantas di Peringgit Jaya.

Kain berwarna putih tersebut memaparkan tulisan ‘Abdullah Hashem adalah al-Mahdi dan ‘Ahmadi agama keamanan dan cahaya’.

Tambah Rahmad, pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat bagi mengesan pelaku terlibat.

“Rakyat Melaka bebas mengamalkan agama masing-masing dan kita hidup dalam keadaan harmoni. Bagaimanapun kita bimbang perbuatan seperti ini seperti mahu mencetuskan provokasi bukan sahaja kepada agama Islam tetapi kepada agama lain juga,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya