Westlite nafi langgar peraturan operasi asrama pekerja

Westlite nafi langgar peraturan operasi asrama pekerja

KERATAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA 27 DISEMBER 2024
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat penyedia asrama pekerja, Westlite Accommodation (Westlite) menjelaskan pihaknya menjalankan operasi dengan sah dan telah mendapat permit untuk menjalankan perniagaan itu daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Syarikat itu dalam satu kenyataan menerusi agensi perhubungan awamnya berkata, permit yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) membenarkan syarikat itu beroperasi dalam bidang kuasa geografi majlis bandaran tersebut.

“Lesen perniagaan MPKu tidak tertakluk di bawah Akta 446. Walaubagaimanapun, kami telah menerima lesen perniagaan daripada MPKu sejak 2012 di bawah kategori ‘Pejabat Urusan’.

“Jenis lesen perniagaan ditentukan oleh MPKu selepas menyemak permohonan kami dan dokumen berkaitan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) serta pelan bangunan yang diserahkan semasa setiap proses permohonan baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 27 Disember lalu, akhbar ini melaporkan Westlite Accommodation didakwa menjalankan operasi perniagaan asrama pekerja di Iskandar Puteri tanpa permit perniagaan yang sah.

Ia berikutan terdapat notis pemberhentian operasi yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada 9 Disember lalu.

Mengulas lanjut, agensi perhubungan awam itu berkata, Westlite telah mendapatkan Perakuan Kelulusan (COA) daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk asrama pekerja di Westlite Johor Tech Park, Senai.

Dua sijil COA itu menunjukkan ia adalah sah dari November 2021 hingga November 2024 dan November 2024 hingga November 2027.

“Sijil ini mengesahkan pematuhan penuh kami terhadap Akta 446 dan telah dikeluarkan ke alamat bekas harta yang sama.

“Dengan pengesahan alamat baharu dan pengeluaran notis lesen perniagaan oleh MBIP pada 18 Disember 2024, syarikat telah segera memulakan proses melibatkan JTK untuk mengemas kini sijil untuk alamat baharu,” katanya.

Dalam pada itu, agensi perhubungan awam tersebut turut mengakui bahawa pada 9 Disember lalu, Westlite telah menerima notis daripada MBIP dan permit perniagaan mereka perlu dimohon di bawah PBT daerah itu.
“Kemudian, pada 10 Disember lalu, kami telah memohon permit perniagaan di bawah MBIP. Kebiasaannya, permohonan permit perniagaan akan disertakan dengan lesen pemasangan papan tanda yang memerlukan kelulusan daripada Dewan Bahasa Pustaka (DBP).

“Justeru, kami telah menghantar reka bentuk papan tanda dan menghantar permohonan pada hari yang sama,” katanya.

Sementara itu, agensi perhubungan awam itu berkata, Westlite telah menghubungi MBIP pada 15 Disember lalu untuk bertanya mengenai kelewatan kelulusan namun pegawai bertugas menasihati Westlite agar memohon tempoh lanjutan notis dan ia diterima oleh MBIP.

“Dengan permohonan tempoh lanjutan notis diluluskan, syarikat diberikan kebenaran untuk meneruskan operasi antara 16 Disember 2024 hingga 18 Disember 2024 apabila permit perniagaan baharu diluluskan oleh MBIP.

“Semasa tempoh itu, permit perniagaan di bawah MPKU dianggap sah sehingga ia telah dibatalkan pada 23 Disember lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN