PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Pakistan berusia 50 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini di atas tuduhan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam kemalangan di Jalan Azalea 1/1, Sungai Choh, Serendah, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pertuduhan terhadap suspek dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pertuduhan dilakukan selepas siasatan mendapati kemalangan pada 2 Januari lalu, kira-kira pukul 7.30 malam itu, melibatkan sebuah kereta yang dipandu suspek dan sebuah motosikal.
“Penunggang motosikal, seorang lelaki berusia 48 tahun, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, selain denda antara RM20,000 hingga RM50,000.
Minggu lalu, seorang lelaki tempatan meninggal dunia akibat dirempuh sebuah kereta dipandu warga asing di Jalan Azalea 1/1 Sungai Choh, Serendah.
Ahmad Faizal berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan berkenaan kira-kira pukul 7.30 malam.
Menurutnya, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta dipandu lelaki warga Pakistan itu dan penunggang motosikal tempatan.
“Semasa lampu isyarat bertukar hijau, penunggang telah meneruskan perjalanan dan secara tiba-tiba datang kereta dari arah sebelah kanan dan melanggar mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang.
“Akibat dari kemalangan tersebut, mangsa tercampak ke tepi jalan dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu,” katanya. – UTUSAN