KUALA KUMPUR: Sindiket pemalsuan dokumen dan cop palsu yang didalangi warga Pakistan tumpas menerusi serbuan di sekitar Lembah Klang, 30 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, hasil risikan selama tiga minggu Bahagian Perisikan dan Operasi Khas itu berjaya menahan tiga individu termasuk dalang utama berusia 36 tahun bersama dua wanita warga Pakistan masing-masing berusia 27 dan 16 tahun.
“Sindiket tersebut dikesan aktif memalsukan pelbagai dokumen imigresen seperti pas lawatan kerja sementara (PLKS), cop keselamatan imigresen, cop keluar masuk negara dan tiket penerbangan.
“Mereka mensasarkan warga asing yang memerlukan dokumen untuk memohon visa masuk ke Malaysia, pas khas, serta memperbaharui pas lawatan kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Ops Serkap di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.
Menurutnya, sindiket yang dipercayai telah beroperasi selama setahun itu menjual cop keselamatan pada harga RM350 setiap satu dengan keuntungan komisen sekitar RM150.
“Hasil serbuan, kami merampas enam cop keselamatan imigresen, cop keluar masuk beberapa negara seperti Pakistan, Filipina, Bangladesh dan India, selain tiket penerbangan palsu yang telah disunting menggunakan komputer.
“Dokumen tersebut kelihatan seperti asli untuk memperdaya pihak berkuasa,” ujarnya.
Kesemua suspek kini ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 untuk siasatan lanjut.
“Sindiket tersebut bukan sahaja menipu warga asing, malah mengancam keselamatan negara dengan memalsukan dokumen rasmi,” ujarnya. – UTUSAN