PETALING JAYA: Warga kota mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut esok.
Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan juga stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), orang ramai mula berpusu-pusu mendapatkan tiket masing-masing untuk pulang ke kampung.
Selain itu, beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Pantai Timur; Lebuhraya Utara- Selatan dan lain-lain juga mula sesak dengan pergerakan warga sekitar Lembah Klang.
Pemilik kenderaan juga keluar meninggalkan ibu kota dengan pergerakan besar-besaran bermula malam semalam supaya tidak terlepas peluang diskaun tol 50 peratus diumumkan kerajaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Diskaun 50 peratus itu diberikan kepada kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja selama dua hari berakhir malam ini jam 11.59 malam.
Selain itu, antara faktor lain pergerakan besar itu juga adalah disebabkan musim cuti persekolahan sesi 2024-2025 sejak dua minggu sehingga pertengahan Februari depan.
Minggu lalu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan aliran trafik meningkat di lebuh raya utama dari ibu kota menghala keluar ke utara, timur dan selatan bermula pada 24 hingga 28 Januari 2025 sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 29 Januari ini.
Ia susulan peningkatan pergerakan kenderaan sebanyak 2.6 juta sehari akan menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan tersebut.
“Daripada jumlah ini sebanyak 2.2 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Utara Selatan, 198,000 di Lebuhraya KL-Karak, 82,000 di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, 48,000 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 dan 120,000 di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).
“Aliran trafik kembali ke ibu kota pula akan menunjukkan peningkatan bermula pada 1 hingga 2 Februari 2025,” katanya.
LLM juga akan mengaktifkan laluan pintar (smart lane) di 25 lokasi hotspot kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan bagi melancarkan aliran trafik.
Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menempatkan kira-kira 4,500 petugas termasuk 490 anggota rondaan dan 50 anggota Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT), untuk menguruskan insiden lebuh raya.
Manakala sebanyak 6,956 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertugas pada musim perayaan ini bagi membantu dan melancarkan pergerakan pengguna jalan raya.-UTUSAN.