Warga emas mengaku cabul kanak-kanak lelaki

Warga emas mengaku cabul kanak-kanak lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencabul kehormatan seorang kanak-kanak lelaki di sebuah kedai makan, seorang warga emas didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Hakim Mohd Kafli Che Ali membuat keputusan itu setelah pemilik kedai makan, Ng Boo Cheng, 63, mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dipenjara selama tujuh bulan.

Mengikut pertuduhan, Boo Cheng didakwa mencabul kehormatan kanak-kanak terbabit pada pukul 5 petang,17 April 2024 di sebuah kedai makan di Setapak di sini.

Tertuduh itu didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Alias mencadangkan hukuman penjara dan sebatan yang setimpal dengan kesalahan itu sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.

“Perbuatan ini jijik dan tidak bermoral di mana mangsa merupakan kanak-kanak berusia 12 tahun 10 bulan yang sepatutnya dilindungi telah diambil kesempatan terhadapnya. Kejadian ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan mangsa tetapi juga kepada keluarganya,,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela, S. Narasimhan yang mewakili Boo Cheng memohon hukuman denda yang minimum dikenakan atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja dan menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes serta sakit jantung yang memerlukan rawatan susulan di hospital.

“Tertuduh kesal dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan itu lagi. Saya mohon hukuman penjara terhadap anak guam dikecualikan dan hanya mengenakan hukuman denda. Tertuduh juga tidak akan mengganggu mangsa dan keluarganya,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, semasa mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah, tertuduh telah memanggil mangsa masuk ke dalam kedai makan miliknya dan bertanya khabar.

Tertuduh kemudian telah memeluk mangsa sebelum mencabul kanak-kanak itu.

Kemudian, mangsa memaklumkan kepada bapanya mengenai kejadian itu dan pada hari yang sama, bapa mangsa membawa anaknya untuk membuat laporan polis.

Mangsa mengenali tertuduh kerana pernah membeli makanan di kedai terbabit dan semasa kejadian itu berlaku, kedai berkenaan tidak beroperasi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya