KLUANG: Seorang warga emas maut manakala sembilan lagi cedera akibat nahas melibatkan dua kenderaan di kilometer 76, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Baharin Mohd. Noh berkata, kejadian yang berlaku pukul 2.30 petang itu melibatkan Suliaman Sutar, 76, yang memandu kereta Proton Saga Iswara serta sebuah kenderaan model Hyundai Staria dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun bersama penumpang berumur antara 58 hingga 91 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga Iswara datang dari arah Machap ke Simpang Renggam manakala Hyundai Staria dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba dilokasi kejadian, kereta Proton Saga Iswara dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motovan Hyundai Staria itu.
“Akibat pertembungan itu, mangsa maut mengalami kecederaan parah di muka dan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Manakala pemandu dan penumpang satu lagi kenderaan itu hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya melalui kenyataan semalam
Menurut Bahrin lagi, mayat mangsa kemudiannya dihantar Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk proses bedah siasat manakala dua lagi mangsa yang hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Klinik Kesihatan Simpang Renggam.
Ujarnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN