KLUANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Kahang dihentikan selepas lima hari kerja-kerja pencarian dilakukan oleh pasukan penyelamat.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, operasi dihentikan pada pukul 6 petang semalam selepas gagal menemukan mangsa, Lee Siew Hat, 73,
Katanya, operasi melibatkan 65 pegawai dan anggota telah bermula Khamis lalu namun tidak menemukan sebarang petunjuk kehadiran mangsa.
“Pelbagai usaha sudah dilakukan oleh pasukan penyelamat menggunakan semua teknik pencarian termasuk khidmat anjing pengesan namun tetap tidak membuahkan hasil,” katanya kepada pemberita hari ini pada program Kesedaran dan Keselamatan semasa Sambutan Tahun Baru Cina di sini hari ini.
Menurut beliau lagi, walaupun operasi SAR dihentikan namun usaha pencarian akan dijalankan sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan mangsa diterima selain pemantauan secara berkala oleh anggota polis.
Sementara itu, jelasnya, program anjuran Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kluang serta Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia itu adalah bertujuan mengingatkan masyarakat setempat berkaitan langkah-langkah keselamatan sepanjang musim perayaan ketika meninggalkan rumah untuk bercuti. – UTUSAN