KLUANG: Misi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan kebun di Kahang ditutup selepas lima hari kerja pencarian dilakukan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, penutupan dilakukan pada pukul 6 petang semalam selepas gagal menemukan mangsa walaupun hampir keseluruhan kawasan dikatakan tempat kehilangan Lee Siew Hat, 73, sudah dilakukan.
Katanya, operasi diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin dan sertai 65 pegawai dan anggota telah dijalankan bermula Khamis lalu, namun gagal menemukan sebarang petunjuk kehadiran mangsa di tempat seperti dilaporkan.
“Pelbagai usaha sudah dilakukan oleh pasukan penyelamat terdiri daripada anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam dengan kerjasama pasukan sahabat terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia Balai Kluang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang serta Bomba Sukarela Kahang.
“Namun semua teknik pencarian termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan tetap tidak membuahkan hasil,” katanya kepada pemberita hari ini selepas dalam program Kesedaran dan Keselamatan semasa Sambutan Tahun Baru Cina di sini hari ini.
Katanya, walaupun operasi SAR ditutup, usaha pencarian akan dijalankan sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan mangsa selain memantau secara berkala oleh Balai Polis Kahang.
Laporan kehilangan Siew Hat dibuat isteri memaklumkan suaminya tidak pulang sejak pagi Rabu selepas pergi ke kebun di Batu 17, Kahang. Sebelum ini, pengawal keselamatan di kebun tersebut merekodkan motosikal milik mangsa, masuk pada 9.12 pagi dan keluar pada 11.13 pagi. – UTUSAN