KUALA LUMPUR: Seorang penganggur warga Pakistan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki tiket-tiket loteri awam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, Mustajib, 43, didapati memiliki tiket loteri di tepi jalan 7/141, Kampung Malaysia Tambahan, Cheras di sini pada pukul 8 malam, 26 Disember 2024.
Tertuduh telah didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, Mustajib yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam bela memohon mahkamah mengurangkan hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya.
“Saya menyesal akan kesalahan yang dilakukan. Saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini sekali lagi. Namun, saya memohon agar mahkamah dapat mengurangkan hukuman paling minimum,” katanya.
Majistret Arunjothy M. Selvaraju menjatuhkan denda sebanyak RM2,000 kepada tertuduh ekoran ia merupakan kesalahan pertamanya di negara ini.-UTUSAN