PETALING JAYA: Seorang wanita warga asing berusia lingkungan 30-an ditemukan maut dan berlumuran darah di sebuah bilik hotel pada pukul 10.15 malam di Taman Mawar, Puchong, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, wanita malang itu dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam.
“Berdasarkan maklumat awal, polis telah menahan dua lelaki warga asing berusia 39 tahun pada pukul 3 pagi tadi di sekitar Bukit Puchong, bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua suspek kini direman sehingga 6 Januari bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat kes tersebut dengan lebih lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil bedah siasat akan dijalankan di Hospital Serdang bagi mengenal pasti punca kematian mangsa, manakala siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Anbalagan menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Kanan di talian 03-8074 2222.
Semalam, beberapa penduduk yang tinggal berhampiran kawasan lot kedai dijadikan hotel bajet itu memaklumkan tidak mendengar sebarang bunyi aneh.
Difahamkan, penduduk hanya menyedari kejadian itu selepas melihat kereta peronda polis (MPV) menutup jalan masuk ke lokasi kejadian. – UTUSAN