KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga tempatan, bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, Nguyen Thi Tot Hai, 45, didakwa bersama-sama empat orang yang masih bebas dengan niat bersama telah melakukan rompak berkumpulan harta iaitu seutas rantai emas bernilai RM2,500 milik K.Teepashrra, 22.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis berdekatan The Body Shop Suria KLCC, Jalan Ampang, pada pukul 3.30 petang, 28 Disember lalu.
Tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abdul Latip tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin dan tertuduh bukan warga Malaysia.
“Namun, terpulang kepada atas budi bicara mahkamah sekiranya mahkamah membenarkan jaminan pihak pendakwa mencadangkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan dua orang penjamin tempatan serta syarat tambahan iaitu passport perlu diserahkan kepada mahkamah,” kata Nidzuwan.
Bagaimanapun, peguam bela P.Muniswer yang mewakili tertuduh merayu jaminan pada kadar yang paling minimum diberikan atas alasan anak guamnya menghidap penyakit jantung.
“Tahap kesihatan anak guam saya buat ketika ini tidak berapa baik dan beliau tidak bekerja. Tertuduh juga akur untuk menyerahkan pasportnya ke mahkamah sehingga kes selesai bagi mengurangkan isu ‘flight risk’,” kata Muniswer.
Hakim Siti Shakirah Mahtaruddin kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin tempatan serta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwa. Mahkamah juga menetapkan 22 Januari ini bagi sebutan semula kes. – UTUSAN