SEGAMAT: Seorang penjawat awam kerugian RM217,080 diperdaya ‘kekasih maya’ yang mengaku warga Switzerland bekerja sebagai pramugara, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, wanita berusia 41 tahun itu berkenalan dengan suspek yang mengaku seorang warga Switzerland serta bekerja sebagai pramugara menerusi aplikasi TikTok pada bulan lalu.
“Setelah berkenalan hampir seminggu, suspek telah berjanji untuk mengirimkan hadiah berupa wang tunai berjumlah RM4 juta, hadiah barang kemas, telefon bimbit dan kasut kepada mangsa.
“Pada 27 Disember 2024, mangsa telah dihubungi oleh seorang lagi suspek yang berperanan sebagai ejen penghantaran hadiah yang memaklumkan mangsa perlu membuat bayaran untuk pembayaran sijil penggubahan wang haram, pembayaran pakej penghantaran, urusan import duti resit pengirim dan bayaran pakej insurans,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mangsa telah melakukan 48 transaksi pemindahan wang ke akaun-akaun bank yang diberikan oleh suspek.
“Mangsa sedar dirinya ditipu kerana sehingga kini mangsa tidak menerima hadiah dan wang yang dijanjikan oleh suspek. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM217,080 hasil wang simpanannya,” katanya sambil memberitahu mangsa membuat laporan polis, kelmarin.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terutamanya dalam urusan melibatkan transaksi kewangan. – UTUSAN