SANDAKAN: Seorang wanita maut dipercayai jatuh dari tingkat 23 sebuah apartmen di Jalan Buli Sim-Sim, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa berusia 47 tahun ditemukan maut dan mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan kaki akibat terjatuh dari aras yang tinggi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kali terakhir mangsa dilihat adalah semasa keluar dari lift tingkat 23 bangunan berkenaan.
Difahamkan mangsa tidak pergi ke rumah sesiapa dan selepas itu mayat mangsa ditemukan di bahagian bawah bangunan berkenaan.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari aras yang tinggi berdasarkan pemeriksaan rakaman CCTV. Mangsa mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan kaki.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk bedah siasat dan kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, waris mangsa telah dipanggil untuk membantu siasatan.-UTUSAN