KUANTAN: Seorang wanita warga Indonesia didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan kad pengenalan mengandungi maklumat palsu di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Indah Aryani, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Menurut kertas pertuduhan, Indah didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kawasan perumahan beralamat Lot 24, Lorong Pak Mahat, Kampung Kempadang, di sini pada pukul 11 malam, 26 Januari lalu.
Tertuduh didakwa memberikan maklumat palsu dalam butir material ketika semakan dibuat ke atas kad pengenalan dimilikinya semasa operasi dijalankan Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Pahang atas nama Siti Nor Elyana Binti Abdul Kadir.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang merupakan seorang peniaga bagaimanapun hukuman denda dikurangkan berikutan perlu menyara empat anak dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan.
Majistret bagaimanapun memutuskan tertuduh didenda RM6,000 dan jika gagal membayar denda boleh dikenakan hukuman penjara 10 bulan. – UTUSAN