JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga emas berputih mata apabila wang simpanan berjumlah RM500,000 lesap kerana terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan sehingga 100 peratus.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa yang berusia 84 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut, semalam.
Menurut beliau, mangsa mula diperkenalkan tentang pelaburan berkenaan selepas nombor telefonnya dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp pada Oktober lalu.
“Seorang individu memperkenalkan diri kepada mangsa dan menerangkan tentang pelaburan dengan tawaran keuntungan 100 peratus menyebabkan mangsa tertarik dan berminat untuk melabur.
“Mangsa kemudian membuat 12 transaksi pindahan wang kepada dua akaun bank berbeza antara 6 Januari hingga 15 Januari lalu melibatkan nilai keseluruhan RM500,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Balveer Singh berkata, mangsa turut diminta membuat pembayaran tambahan sekiranya mahu wang keuntungan pelaburan pertama dikeluarkan, sekiranya mangsa enggan wang pelaburan itu akan dibekukan.
Katanya, mangsa hanya sedar ditipu apabila akauntannya memaklumkan pelaburan berkenaan tidak benar.
“Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya sambil memberitahu polis akan turut menyiasat sama ada terdapat penglibatan keldai akaun dalam kejadian berkenaan. – UTUSAN