PETALING JAYA: Penggunaan tenaga solar boleh membantu masjid dan surau di seluruh negara menjimatkan bil elektrik bulanan terutama melalui program wakaf solar.
Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., iaitu syarikat bumiputera peneraju dalam industri tenaga boleh baharu di negara ini, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, dengan menggunakan tenaga solar, pihak pengurusan rumah ibadat itu mampu menjimatkan kos bulanan lebih 50 peratus.
Kos pemasangan awal pula kata tidak membebankan pihak masjid dan surau kerana ia ditanggung oleh pihak yang mewakafkan panel-panel solar yang dibeli daripada syarikat-syarikat berkelayakan.
“Gading Kencana adalah pelopor dalam program wakaf solar ini di mana kami mempromosikan dalam kalangan orang Islam yang berkemampuan untuk mewakafkan panel solar kepada masjid-masjid dan surau bagi membantu meringankan beban kewangan setiap bulan.
“Sudah terbukti mana-mana premis yang memasang panel solar ini mampu menjimatkan bil elektrik mereka,” katanya dalam kenyataan.
Oleh itu katanya, program wakaf solar amat sesuai diguna pakai jika mahu membantu masjid dan surau menjimatkan bil elektrik mereka.
Katanya, jika selama ini para dermawan mewakaf barang-barang seperti karpet, kipas angin, pendingin hawa dan sebagainya, kini mereka boleh beralih dengan mewakafkan solar kerana faedahnya lebih besar selain mendidik anak kariah tentang tenaga boleh baharu.
Menurut Guntor, Gading Kencana sentiasa menawarkan kepakaran termasuk panel solar untuk dipasang di mana-mana masjid dan suraya di seluruh negara berdasarkan permintaan pewakaf.
Terbaharu kata beliau, syarikatnya telah memasang panel solar yang diwakafkan oleh Bank Rakyat di Masjid Al-Mursyid di Guring, Pauh, Arau, Perlis yang mana ia adalah perintis bagi projek wakaf solar hasil sinergi bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Bank Rakyat.
Inisiatif projek tersebut bermula sejak September lalu dan menariknya pengurusan masjid berjaya mengumpul RM30,000 bagi merealisasikan usaha berkenaan.
Menerusi pelaksanaan itu, Bank Rakyat menyumbangkan sebanyak RM62,000 manakala MAIPs menyalurkan RM20,000 bagi pembangunan projek solar bernilai RM110,000 tersebut.
Projek itu telah dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan berangkat merasmikan projek wakaf solar berkenaan.
Berdasarkan kepada maklum balas, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Mursyid, Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail berkata, idea penggunaan sistem solar itu tercetus kerana mereka sering berdepan bebanan bil elektrik bulanan yang tinggi.
Sebelum ini, purata bil elektrik adalah kira-kira RM4,500 sebulan, namun ia boleh mencecah sehingga RM7,000 pada Ramadan.
“Bagaimanapun, selepas pemasangan 72 panel solar ini, kami dapat berjimat sehingga 60 peratus, malah bil elektrik turun kepada RM2,500 sebulan,” katanya. – UTUSAN