Video promosi TMM2026: Ambil kira kedudukan Islam agama Persekutuan

Video promosi TMM2026: Ambil kira kedudukan Islam agama Persekutuan – Mohd. Na’im

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penghasilan semula video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) perlu mengambil kira latar belakang semangat Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, usaha itu juga wajar dan harus menggambarkan kemajmukan masyarakat di Malaysia.

“Sepertimana semua sedia maklum, institusi masjid dan surau menjadi imej dan identiti tonggak kepada negara Malaysia.

“Usaha-usaha untuk memperkukuh serta memartabat syiar Islam di Malaysia adalah keutamaan kerajaan yang giat dilaksanakan melalui agenda Membangun Malaysia Madani dan Pelan Transformasi Al-Falah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak mempertikaikan video montaj promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 kerana tidak memaparkan elemen masjid.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memberikan komitmen penghasilan video berkenaan akan dibuat semula secara lebih terperinci mengikut pembahagian zon di setiap negeri di seluruh negara dalam tempoh seminggu.

Sebelum ini, ia hanya sebuah video pelancaran ringkas dan pendek berdurasi 41 saat.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, usaha pengukuhan Islam telah digerakkan secara bersepadu bersama semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri, agensi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak bersama-sama mengambil inisiatif memperkukuh perpaduan demi menjayakan agenda memajukan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya