SEPANG: Polis kini menjejaki pasangan suami isteri susulan video tular memaparkan si isteri ditampar suaminya di khalayak ramai di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan, di sini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, tindakan itu dibuat susulan laporan polis daripada seorang individu yang mengesahkan wanita dalam video itu adalah kakak kandungnya.
Beliau berkata, pihaknya juga telah menerima rakaman video itu hari ini dan mengesahkan insiden itu berlaku di sebuah pasar raya di Kota Warisan, di sini.
“Pengadu telah hadir membuat laporan polis dan mengesahkan bahawa mangsa yang dipukul adalah kakak kandungnya berusia 35 tahun.
“Pengadu juga memaklumkan, lelaki yang memukul mangsa adalah suami mangsa berumur dalam lingkungan 50 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atau Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Norhizam berkata, usaha menjejaki mangsa dan suspek kini sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mahafiz Mat Lawi di talian 010-2396533 atau menghubungi ibu pejabat polis daerah sepang di talian 03-87774222,” katanya.
Sebelum ini, tular satu rakaman video memaparkan seorang lelaki menampar isterinya di tempat awam iaitu di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan.
Menerusi rakaman video itu, wanita berkenaan dilihat berjalan menuju ke pintu keluar pusat beli-belah itu sebelum didekati seorang lelaki yang kemudian bertindak menamparnya.
Insiden itu sempat dirakam orang awam sebelum dimuat naik di laman sosial yang kemudiannya mengundang reaksi marah warganet. – UTUSAN