PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) masing-masing menerima Naib Canselor baharu yang akan menerajui universiti berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dilantik sebagai Naib Canselor UTM mulai 9 Januari 2025 manakala Prof. Dr. Yatimah Alias sebagai Naib Canselor UMPSA bermula 13 Januari 2025.
Kata beliau, Prof. Dr. Mohd Shafry, 49 merupakan pakar dalam bidang Sains Komputer (Pemprosesan Imej) dengan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2008 seterusnya memiliki pengalaman luas dalam tadbir urus universiti.
“Beliau sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM sejak 2023 selain memegang jawatan penting lain termasuk Pengerusi Sekolah Pengajian PraSiswazah dan Pengerusi Institute for Life Ready Graduates UTM.
“Sementara itu, Prof. Dr. Yatimah, 55, pakar dalam bidang Electrochemistry dan Ionic Liquids, memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kimia dari University of East Anglia, Australia, pada tahun 1999.
“Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya (UM) sejak 2022 pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Pengarah Pusat Perancangan Strategik Akademik UM,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yakin pelantikan dua tokoh akademik ini mampu memperkasakan pembangunan akademik dan penyelidikan serta melahirkan graduan berminda global yang bersedia memasuki dunia industri.
“KPT turut merakamkan penghargaan kepada mantan Naib Canselor UTM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan mantan Naib Canselor UMPSA, Datuk Prof. Dr. Yusserrie Zainuddin atas sumbangan mereka sebelum ini.,” katanya.-UTUSAN