PETALING JAYA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya menjalankan projek pembangunan dan pemasangan Sistem Pemantauan Banjir di Taman Masjid Tanah Ria, Masjid Tanah, Melaka, baru-baru ini.
Projek rintis itu dijayakan menerusi Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM – Melaka dan sekumpulan penyelidik dengan menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) yang dijangka memberi impak besar kepada negeri tersebut.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, kejayaan pemasangan Sistem Pemantauan Banjir IoT itu jelas membuktikan kesungguhan dan komitmen UTeM mencurahkan kepakaran dimiliki untuk manfaat dan kesejahteraan penduduk Melaka.
Katanya, sistem pemantauan itu memberikan amaran awal banjir dengan menghantar notifikasi kepada penduduk dan agensi penguatkuasaan melalui aplikasi mudah alih serta media sosial pada masa nyata.
“Secara asasnya projek ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama UTeM yang mana projek ini diselaraskan oleh Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka (UPEN) dengan kerjasama agensi tempatan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
“Projek ini sebahagian daripada pelan strategik Melaka untuk menangani impak banjir kilat yang sering berlaku akibat perubahan cuaca dan taburan hujan yang tidak menentu.
“Sistem ini dirancang pembangunannya sebagai mekanisme kawalan untuk mengurangkan risiko kerosakan harta benda dan memudahkan usaha menyelamat di kawasan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini.
Projek pembangunan dan pemasangan Sistem Pemantauan Banjir IoT itu diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK), Mazran Esro bersama lima penyelidik lain iaitu Profesor Madya Eur Ing; Dr. Siva Kumar Subramaniam; Dr. Siti Aisyah Anas; Dr. Ahamed Fayeez Tuani Ibrahim, Vigneswara Rao Gannapathy dan Dr. Yogan Jaya Kumar.
Sementara itu, selaku ketua projek, Mazran berkata, sistem pemantauan itu memantau kenaikan paras air sungai, kejadian hujan, jumlah air hujan, suhu dan kelembapan di lokasi.
“Sekiranya hujan dalam jumlah yang banyak dan paras air naik dengan cepat, sistem akan memaparkan kategori sama ada kategori hijau (paras normal), kuning (paras waspada), jingga (paras amaran) dan merah (paras bahaya).
“Penduduk setempat boleh mendapat manfaat dari sistem ini dengan akses mudah melalui kod QR selepas ini setelah selesai peringkat pengujian akhir yang dalam proses pemantauan kami bagi memastikan kestabilan dan keberkesanan sebelum dibuka kepada orang awam,” ujarnya.
Projek perintis itu kini berada dalam tempoh pemantauan keberkesanannya sebelum dicadang sebarang penambahan di lokasi lain yang berisiko banjir sekitar Melaka.-UTUSAN