‘Upin Ipin kata sunat tak sakit’

‘Upin Ipin kata sunat tak sakit’

PESERTA disembur air daripada lori tangki Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum dikhatankan dalam Program Berkhatan Perdana di Masjid Al Huda, Kelang Lama di Kulim, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: “(Kartun) Upin Ipin kata sunat tak sakit,” demikian ujar Muhammad Affan Raid Rafizan, 6, yang menyertai Program Berkhatan Perdana bersama kembarnya, Muhammad Afeef Raid di Masjid Al Huda, Kelang Lama di sini.

Pasangan kembar itu antara 29 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun yang menyertai majlis berkhatan beramai-ramai anjuran masjid itu sempena musim cuti sekolah.

Menurut ibu mereka, Afikah Md. Radzi, 42, anak kembarnya itu yang merupakan pelajar Tadika Pasti Kampung Sungai Badak sepatutnya dikhatankan tahun lalu, tetapi disebabkan faktor tertentu mereka dikhatankan tahun ini.

“Muhammad Affan dan Muhammad Afeef tidak nampak rasa takut atau gementar ketika hendak bersunat, mungkin kerana mereka terpengaruh animasi kanak-kanak, Upin dan Ipin.

“Beberapa hari sebelum bersunat, mereka ada melihat kartun itu di aplikasi YouTube yang mana dalam dialog itu watak kartun yang disukai mereka berkata ‘berkhatan tak sakit, macam kena gigit semut je’,” katanya ketika ditemui.

Menurut Afikah, pada mulanya dia risau apabila Muhammad Affan Raid demam panas sehari sebelum program kerana dikhuatiri tidak dapat menyertai acara berkhatan itu bersama pasangan kembarnya.

“Saya segera mengelap badannya dengan kain basah agar suhu panas segera turun. Alhamdulillah dia kembali sihat dan dapat menyertai program berkhatan bersama kembar serta rakan-rakannya,” katanya.

Sementara itu, Imam Masjid Al Huda, Ibrahim Teh berkata, pihaknya menganjurkan dua program khatan perdana iaitu ketika cuti sekolah ini dan sekali lagi pada penghujung tahun nanti.

Katanya, sebelum ini program diadakan setahun sekali, namun disebabkan cuti sekolah yang panjang, pihaknya mengambil peluang menjalankan aktiviti itu sekerap yang mampu dengan mengehadkan 30 peserta setiap sesi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya